Rabu, 8 Januari 2014

Kisah Si Miskin dan Si Kaya

         Suatu hari ketika Nabi Musa a.s. sedang berehat dirumahnya, tiba-tiba dia didatangi oleh seorang tetamu, pakaian tetamu tersebut sangat lusuh berdebu, bahkan terdapat koyakkan serta tampalan pada pakaiannya. Kemudian tetamu tersebut memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Wahai nabi Allah, bukankah tuan adalah kalamullah, bolehkah tuan menolongku?"

"Apa permintaanmu saudara?" bertanya Nabi Musa a.s.
"Aku adalah seorang miskin, aku mohon tolong sampaikan kepada Allah permohonanku ini, agar menjadikan aku seorang yang kaya, " pinta Si Miskin.

Nabi Musa a.s. hanya tersenyum dan berkata pada orang itu, "Saudaraku, banyak-banyakkanlah kamu bersyukur kepada Allah,"

       Terkejut Si Miskin, dengan nada kesal dia menjawab, "Bagaimana aku mahu bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku pakai ini hanya satu lembar ini sahaja." Akhirnya Si Miskin itu pun pulang dengan hampa tanpa mendapatkan apa yang diingininya.

        Beberapa ketika kemudian, sekali lagi Nabi Musa a.s. didatangi tetamu saat dia sedang beristirehat di rumahnya. Kali ini tetamu yang datang berjumpa dengannya berpakaian cantik dan kemas persis seorang kaya. lalu bertanya Nabi Musa a.s.

"Siapakah gerangan saudara dan apakah yang engkau mahukan?"

Tetamu itu pun berkata " Wahai nabi Allah, Tolong sampaikan pada Allah permohonanku ini. Jadikan aku seorang yang miskin kerana kehidupanku begitu terganggu dengan hartaku yang banyak."

Nabi Musa a.s. pun tersenyum dan berkata, " Wahai saudaraku, janganlah engkau bersyukur kepada Allah."

Pelik si kaya tadi dengan jawapan Nabi Musa a.s. lalu berkata, " Wahai kalamullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah? Allah telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat, telinga yang dengannya aku dapat mendengar, tangan dengannya aku dapat bekerja, dan kaki dengannya aku dapat berjalan, Bagaimana mungkin aku tidak mensyukuri-Nya,"

Akhirnya si kaya  tadi pun pulang ke rumah dalam keadaan hampa kerana baginda tidak sudi membantunya.

Kemudian apa yang terjadi, si kaya menjadi bertambah kaya kerana ia selalu bersyukur kepada Allah s.w.t. Sebaliknya Si Miskin menjadi bertambah miskin. Allah telah mengambil semua kenikmatannya sehingga si miskin tidak memiliki selembar pakaian pun melekat di tubuhnya. Ini semua balasan kerana  dia tidak mahu bersyukur  kepada Allah s.w.t.

 Bukankah Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur Kami pasti akan bertambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

MORAL = Bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan pada kita.

Sumber : MAJALAH AL ISLAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan